Sunyinya kawasan surau ini. Seperti tidak mahu digunakan lagi. Tiada manusia yang memeriahkan lagi surau ni. Adakah ia akan digunakan semasa bulan puasa saja? Suara azan kini tidak lagi aku dengar. Suara budak-budak mahupun orang dewasa bertadarus kini tiada lagi. Dimanakah mereka semua? Kenapa surau ini di tinggalkan sepi? Kelihatan surau ini masih boleh dipakai oleh semua golongan tidak kira tua mahu pun muda.
3 tahun yang lepas.
Surau ini dipenuhi dengan penghuni. Sama ada pagi mahupun malam, sama ada bulan puasa mahupun bulan biasa, surau ini sentiasa dipenuhi. Kedengaran suara anak-anak kecil mengaji mendayu-dayu penuh keriangan. Bacaan ayat suci al-Quran disebut dengan teliti dan penuh keasyikkan. Suara azan yang berkumandang bila tiba waktu sungguh asyik memanggil penghuni yang semakin leka untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Maha Pencipta. Suara azan yang menyuruh manusia menyembah Tuhan yang Esa.
Surau ini hanya ditinggalkan sepi begini. Tiada manusia lagi yang menguruskannya. Semuanya sibuk dengan kerjaya masing-masing. Tidakkah terdetik di hati untuk mengembalikan keceriaan surau ini seperti dahulu?
Seandainya surau ini boleh berbicara, mesti ia akan berkata "janganlah tinggalkan aku seperti rumah kosong yang tidak berpenghuni. Jangan jadikan aku seperti rumah usang yang telah ditinggalkan bertahun lama," Mungkin !
Aku merindui saat keceriaan surau ini. Kedengaran suara azan dan suara budak-budak mengaji. Tapi kini hanya di tinggalkan kosong, sepi... Adakah surau ini akan kembali seperti dahulu? Aku setia menanti saat itu.